Selamat Datang

ﺴﻡﺍﷲﺍﻟﻥﺍ

SEKOLAH KEBANGSAAN BANDAR MAS

Blog Sekolah Kebangsaan Bandar Mas
Alamat : Peti Surat 24, 81907 Kota Tinggi, Johor.
No. Tel. : 07-8236321
No. Fax : 07-8236321
e-mel : jba3041@yahoo.com

16 Mei 2011

Hari Guru Disambut Meriah

SKBM, 16 Mei - Sambutan Hari Guru peringkat sekolah SK Bandar Mas telah disambut meriah bermula pada pukul 7.20 pagi tadi. Sambutan yang dibahagikan kepada tiga bahagian itu dilangsungkan di Dataran Mas dan Dewan SKBM. Beberapa orang tetamu kehormat yang dijemput telah menghadirkan diri termasuk Ustaz Musa Bin Sarbini, YDP PIBG, Haji Sedil Othman dan Hajah Paridah.

Acara perhimpunan di Dataran Mas dimulakan dengan bacaan doa. Kemudian diikuti dengan nyanyian 4 buah lagu keramat, Negaraku, Bangsa Johor, KT Dijulang dan SKBM. Majlis perhimpunan diteruskan dengan ucapan YDP PIBG, membaca perutusan Ketua Pengarah Pelajaran dan ucapan Guru Besar. YDP PIBG dalam ucapannya telah menyatakan rasa terharu sambil mengucapkan selamat hari guru, sementara Tuan GB telah menyampaikan perutusan selamat hari guru daripada Perdana Menteri. Selepas itu, hadirin dipersembahkan dengan bacaan sajak oleh guru dan murid, nyanyian Lagu Guru Malaysia, ikrar Hari Guru serta acara Pemotongan Kek Hari Guru. Akhirnya sesi penggambaran diadakan.

Guru Besar mengetuai acara Pemotongan Kek Hari Guru

Kira-kira pada pukul 9.10 pagi, di Dataran Mas juga, sukaneka Hari Guru dimulakan. Empat kumpulan guru telah mengambil bahagian iaitu Kumpulan Semerah Padi, Masam-masam Manis, Antara Dua Darjat dan Anakku Sajali. Acara yang dipertandingkan ialah Masukkan Gelung Rotan ke Skital, Susun Gelas dan Hantaran Belon Air. Acara-acara tersebut dikelolakan oleh Cik Farhana dan dibantu oleh En. Suhaimi.

Selepas rehat iaitu pukul 10.30 pagi, semua guru, tetamu serta murid berhimpun di Dewan SKBM. Di sini dilangsungkan acara Pentas Riang-ria Hari Guru 2011. Kumpulan guru yang sama dengan acara sukaneka telah membuat persembahan. Semerah Padi mendendangkan lagu "Ayam" disertai pergerakan bersama murid, kumpulan Masam-masam Manis mempersembahkan nyanyian lagu "Biarku Menjadi Lilin", Antara Dua Darjat mempersembahkan "Tarian Naga untuk hantam sajalah Labu; halau hantu Kak Limah balik rumah" dan Anakku Sajali mempersembahkan lagu "Malaysia Baru". Tidak ketinggalan, murid-murid juga telah membuat persembahan. Murid pilihan daripada Tahun 6 & 5 mempersembahkan nyanyian Nasyid dan Kumpulan 5 Arif mempersembahkan "Boria Hari Guru".

Di Pentas Riang-ria Hari Guru 2011 itu juga disampaikan Anugerah Tokoh-tokoh Guru SKBM 2011. Antara anugerah yang diwujudkan menerusi undian oleh murid Tahun 4, 5 dan 6 itu ialah Anugerah Tokoh Guru Perihatin, Guru Sporting, Guru Baik Hati, Guru Dedikasi, Guru Peramah dan Guru Aktif.

Persembahan oleh Kumpulan Masam-masam Manis.


Persembahan Nasyid oleh Murid Tahun 5&6.


Persembahan Kumpulan Semerah Padi.



Tarian Naga dipersembahkan oleh Antara Dua Darjat

Murid Tahun 5 Arif sedang mempersembahkan "Boria Untuk Guru"


Sebahagian daripada ahli kumpulan Antara Dua Darjat menggunakan alat genderang mengiringi Tarian Naga bersesuaian dengan cogan katanya Hantam sajalah Labu dan alat itu dikatakan berjaya menghalau hantu Kak Limah balik rumah.

Majlis terakhir dalam sambutan Hari Guru kali ini dilangsungkan di Kantin SKBM di mana acara ini hanya melibatkan guru-guru dan tetamu kehormat. Majlis makan tengah hari itu disempurnakan dengan cabutan pertukaran hadiah/cenderamata, cabutan bertuah dan ucapan penutupan rasmi oleh Tuan Guru Besar. Majlis bersurai kira-kira jam 1.20 petang.


- PEMBERITA SKBM 110516.